Tips Melancong

Sebelum anda membuat tempahan percutian anda di Cameron Highlands, luangkan masa untuk membaca tips melancong di sini. Maklumat ini sudah pasti membantu anda untuk membuat keputusan berkaitan percutian anda agar anda dapat menikmati percutian yang hebat di Cameron Highlands.

Bila untuk melawat Cameron Highlands

Masa terbaik untuk melawat Cameron Highlands adalah semasa musim bukan puncak (off peak) atau semasa hari-hari bekerja. Keadaan akan sesak terutama pada hujung minggu cuti sekolah dan musim perayaan. Ini akan menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk terutamanya di sekitar bandar dan tempat-tempat pelancongan. Memandu dari Tapah atau Ipoh juga boleh mengambil masa dua kali lebih lama berbanding biasa.

Perjalanan

Berhati-hati ketika memandu ke Cameron Highlands terutamanya jika ini kali pertama anda ke sana. Terdapat banyak trak dan bas di jalan raya pada kebanyakan masa. Memotong adalah mencabar terutama di jalan Tapah – Cameron Highlands. Jika anda tidak yakin, ikutilah kenderaan di hadapan anda pada kelajuan yang perlahan. Biasanya trak dan bas tempatan akan memberi isyarat bagi anda untuk memotongnya apabila selamat. Pada musim hujan, awas akan batu-batu kecil dan dahan pokok tumbang di atas jalan raya.

Jika anda seorang pemandu yang tidak berpengalaman, elakkan perjalanan pada waktu malam jika boleh kerana tidak ada lampu jalan di sepanjang jalan dan liputan telefon mudah alih adalah sangat terhad.

Stesen Minyak

Pastikan tangki minyak anda sekurang-kurangnya separuh penuh sebelum anda memulakan perjalanan anda dari exit lebuhraya. Stesen minyak di Cameron Highlands hanya terdapat di bandar-bandar berikut:

  • Ringlet – Shell & Petronas
  • Brinchang – Shell & Petronas

Bandar untuk Menginap

Tanah Rata – Kebanyakan hotel kecil, lodge dan rumah-rumah tetamu terdapat di sini. Tanah Rata pada umumnya lebih tenang dan kurang sesak walaupun semasa musim puncak dan ia adalah tempat kegemaran bagi backpackers untuk menginap. Jika anda ingin menikmati suasana damai dan tenang, ini adalah tempat pilihan anda.

Brinchang – Pasar Malam hujung minggu terletak di sini dan hanya mengambil masa 5-10 minit perjalanan ke kawasan Kea Farm. Keadaan trafik dan tempat letak kereta boleh menjadi masalah semasa musim puncak. Ini adalah tempat untuk anda jika anda tidak keberatan suasana sibuk.

Pakaian

Pada siang hari, seluar pendek dan t -shirt sudah memadai. Suhu boleh turun pada waktu lewat petang atau apabila hujan. Bawalah jaket nipis atau cardigan untuk dipakai pada masa-masa seperti ini. Secara umumnya ia boleh menjadi amat sejuk pada waktu malam terutamanya semasa musim hujan. Bawalah pakaian tebal yang sesuai.

Jika anda merancang untuk bersiar-siar dan mengambil angin di luar, pastikan anda membawa payung bersama anda kerana kerana hujan kerap berlaku di sini. Anda juga boleh membawa baju hujan plastik.

Kad Kredit

Kad kredit diterima pakai di kebanyakan hotel besar. Anda mungkin tidak dapat menggunakan kad kredit di hotel-hotel kecil dan hampir semua restoran-restoran di sini. Anda mungkin mahu menyemak sama ada kad kredit anda diterima dengan mencari tanda-tanda kad kredit di pintu masuk.

Harga barangan

Harga barang-barang umum dan makanan di Cameron Highlands adalah hampir sama seperti di tempat lain di Semenanjung Malaysia. Sesetengah restoran akan mengenakan harga yang tinggi terutama semasa waktu puncak. Keadaan ini lebih biasa berlaku di Brinchang di mana terletaknya restoran-restoran yang memenuhi keperluan pelancong.

Liputan Telefon Mudah Alih & Kafe Siber

Liputan untuk telefon mudah alih hanya boleh didapati di dalam dan sekitar bandar-bandar utama. Sepanjang perjalanan dari Ringlet ke Kampung Raja anda tidak akan mempunyai masalah menggunakan telefon anda. Liputan yang disediakan ialah Maxis (012017), Celcom (013019) & Digi (016).

Terdapat beberapa kafe siber yang kebanyakkannya terletak di Tanah Rata. Kebanyakan rumah-rumah tetamu dan hotel juga menyediakan perkhidmatan internet.

Bank & Pengurup Wang

Bank-bank berikut boleh didapati di Cameron Highlands:
Tanah Rata

  • Maybank (bank ini juga mempunyai pengurup wang yang beroperasi 7 hari seminggu)
  • HSBC
  • Bank Simpanan
  • Hong Leong Bank
  • CIMB Bank
  • Agro Bank

Brinchang – Public Bank
Ringlet – CIMB Bank