Tentang Cameron Highlands

Ringlet

Jika anda mengambil jalan lama melalui Tapah, anda akan sampai ke bandar ini selepas 1 jam perjalanan. Terletak pada ketinggian 1200 meter atas paras laut, Ringlet adalah salah satu hub agrikultur utama di tanah tinggi ini. Tidak ada aktiviti untuk pelancong di sini melainkan berhenti untuk isi minyak kereta. Bertam Village yang terletak lebih kurang 5km dari sini adalah salah satu pembekal utama sayur-sayuran dan bunga-bungaan di Cameron Highlands. Hotel terdekat adalah Lakehouse, cuma 5 minit perjalanan dari sini.

Tanah Rata

Menghala ke atas adalah Tanah Rata kira-kira 12km (20 minit perjalanan) dari Ringlet. Tanah Rata merupakan pusat bandar Cameron Highlands di mana terletaknya pejabat-pejabat kerajaan, hospital dan balai polis daerah di sini. Stesen bas utama juga terletak di sini dan kemudahan pengangkutan ke dalam dan luar tanah tinggi ini boleh didapati di sini. Kebanyakkan chalet dan rumah tetamu terletak di sini dan keliling Tanah Rata, hampir kesemua trek dan denai air terjun bermula di Tanah Rata.

Pengurup wang dan kafe siber juga terdapat di bandar ini. Tanah Rata menarik untuk dinikmati tanah tingginya terutama pada hari minggu. Ia lebih damai berbanding Brinchang yang menempatkan hotel-hotel dan restaurant besar.

Brinchang

Seterusnya ialah Brinchang yang terletak 4 km (10 minit perjalanan) dari Tanah Rata. Di sinilah terletaknya kebanyakan hotel & restoran. Pasar malam dibuka setiap minggu pada Sabtu malam menjual pelbagai jenis sayuran, bungaan, buah-buahan dan lain-lain produk Cameron Highlands. Tempat ini boleh dikatakan sesak terutama pada hujung minggu dan semasa musim percutian. Selain Ringlet, bandar ini terdapat stesen minyak untuk keperluan perjalanan anda seterusnya.

Kea Farm, Tringkap, Kuala Terla & Kampung Raja

Atas dari Brinchang, jalan menghala terus ke Blue Valley. Kebanyakkan tarikan pelancong terletak pada jalan ini. Di sini anda akan menjumpai pasar, kebun sayuran, taman bunga, taman lebah dan taman rama-rama. Jalan ini juga menyimpang ke ladang teh Sungai Palas di mana anda boleh kunjungi untuk secawan teh sambil menikmati pemandangan ladang teh seluas mata memandang.

Jika anda meneruskan perjalanan ke utara melalui jalan utama, jalan akan mula menurun ke Kea Farm dan anda akan lihat kebun sayuran sepanjang perjalanan ke Tringkap. Tringkap merupakan komuniti peladangan yang kecil dan gerai-gerai menjual hasil tempatan banyak terdapat di sepanjang jalan. Kira-kira 15 minit dari situ ialah Kuala Terla, sebuah lagi komuniti peladangan. Kampung Raja adalah bandar terakhir. Sejak jalan Simpang Pulai dibuka, bandar ini menjadi pintu masuk ke Cameron Highlands dari Utara. Dari sini, anda boleh menuju ke Barat untuk ke Ipoh atau Timur ke Kelantan.