Sejarah Cameron Highlands

Cameron Highlands dinamakan sempena nama William Cameron, seorang juruukur dari kerajaan British yang menjumpainya pada tahun 1885 semasa sebuah ekspedisi pemetaan Banjaran Titiwangsa.

Setelah itu, penemuannya telah gagal ditandakan pada peta dan ekspedisi-ekspedisi seterusnya telah mengesahkannya. Sir Hugh Low mencadangkan tempat ini sebagai lokasi ideal untuk dibangunkan sebagai kawasan peranginan dan perkebunan.

Sehingga tahun 1925 tiada pembangunan berlaku. Sir George Maxwell telah melawat tanah tinggi ini dan memutuskan untuk dibangunkan sebagai stesen bukit. Satu komiti pembangunan telah ditubuhkan dan berfungsi sehingga tahun 1931. Cameron Highlands telah menjadi syurga bagi orang British yang telah ditugaskan di Malaya kerana cuacanya yang sejuk dan nyaman. Sebaik sahaja jalan telah dibina, pegawai kerajaan British dan orang-orang kaya telah mula membina rumah persinggahan pada lereng-lereng bukit.

Kemudian sedikit demi sedikit mereka mula tinggal di sini secara tetap dan sebuah komuniti bisnes telah terhasil. Perkebunan merupakan aktiviti utama di sini pada masa itu. Pada tahun 1929, John Archibald Russell salah seorang anak pegawai British telah memulakan penanaman teh yang sehingga kini dikenali sebagai Boh Tea Plantation.

Tanah tinggi ini telah membangun dengan pesatnya sehingga Perang Dunia Kedua. Setelah dijajah, Jepun telah mengambil alih sebagai sumber makanan tenteranya. Setelah Jepun berundur dari Malaya pada tahun 1945, British kembali ke Cameron Highlands sehingga kemerdekaan Malaya pada tahun 1957.